2 maut selepas lori rempuh 9 motosikal berteduh di bawah jejambat dekat Gurun. Alfatihah

2 maut selepas lori rempuh 9 motosikal berteduh di bawah jejambat dekat Gurun 

DUA penunggang motosikal maut selepas dirempuh sebuah lori ketika berteduh di bawah jejambat di Kilometer 92.8 Lebuhraya PLUS arah Selatan, dekat Gurun pukul 2.40 petang tadi.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah (gambar kecil) berkata, kemalangan itu membabitkan sebuah lori dengan sembilan buah motosikal.

Katanya, kedua-dua mangsa yang maut masing-masing berusia 28 dan 31 tahun mengalami kecederan parah di kepala.

“Siasatan awal di tempat kejadian mendapati kesemua sembilan buah motosikal sedang berteduh daripada hujan lebat di bawah jejambat.

“Kedudukan kesemua motosikal yang terlibat di parkir secara dua lapis di lorong kecemasan dan kesemua penunggang berada di sisi kenderaan masing-masing,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.

Pemandu lori berusia 28 tahun kini ditahan polis.

Tambahnya, secara tiba-tiba sebuah Lori yang bergerak di lorong kiri datang dari arah belakang telah merempuh kesemua motosikal tersebut.

“Akibat rempuhan itu, dua mangsa meninggal dunia di tempat kejadian dan beberapa penunggang lain cedera,” katanya.

Tambahnya, mayat mangsa telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk ujian saringan Covid-19 dan bedah siasat bagi mengetahui punca kematian.

Ujarnya, pemandu lori berusia 28 tahun telah ditahan, dan proses reman akan dilakukan pagi esok.

“Hasil saringan awal air kencing mendapati dia bebas dadah dan alkohol,” katanya dan kes tersebut disiasat dibawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’