ALOR GAJAH: Seorang pekerja pembersihan maut selepas motosikal ditunggang melanggar belakang kereta dan terbabas di Jalan Solok Duku Tanjung Bidara, Masjid Tanah, dekat sini, petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 6.40 petang itu, Ahmad Jamil Ibrahim, 47, yang menunggang V16 250 cc maut di lokasi kejadian akibat parah di kepala dan anggota badan.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu, berkata pihaknya menerima panggilan daripada orang awam pada jam 6.45 petang memaklumkan kemalangan maut membabitkan motosikal dan Perodua Bezza.
Menurutnya, ketika kejadian, motosikal dan kereta dari arah sama, iaitu Tanjung Bidara menuju ke Masjid Tanah.

"Tiba di lokasi kejadian, motosikal ditunggangi Ahmad Jamil dipercayai hilang kawalan dan melanggar sisi belakang sebelah kiri kereta sehingga terbabas ke bahu jalan. Dia disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
"Bagaimanapun, pemandu kereta berusia 64 tahun yang juga pesara polis tidak mengalami kecederaan. Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Dalam kejadian berasingan, seorang remaja perempuan maut selepas motosikal diboncengnya merempuh kenderaan utiliti sukan (SUV) di Jalan Kuala Sungai Baru, di sini, kira-kira 6.30 petang kelmarin.
Katanya, Christina Goh Siew Yi, 15, bersama rakan lelakinya yang menunggang motosikal itu dalam perjalanan menghala ke Kuala Sungai Baru selepas makan malam di Paya Mengkuang, manakala SUV dipandu lelaki 47 tahun dari arah bertentangan menuju ke Lubok Redan.
"Siasatan mendapati penunggang motosikal berusia 20 tahun itu dikatakan memotong kenderaan lain sebelum masuk ke laluan bertentangan lalu bertembung SUV. Mangsa maut di lokasi.
"Rakan lelakinya dirawat di Hospital Melaka akibat parah di kepala dan patah tulang pinggul, manakala pemandu SUV hanya cedera ringan," katanya.